KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan lagi ekosistem ekonomi digital, khususnya dalam usaha mengukuhkan lagi sokongan terhadap syarikat-syarikat pemula (startups), melalui pelan tindakan KL20.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, ia berbeza dengan pendekatan Kerajaan sebelum ini, yang ingin memberi tumpuan terhadap usaha melahirkan syarikat Unicorn  iaitu syarikat pemula bernilai lebih daripada RM1 bilion.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, dengan memperluaskan lagi ekosistem, ia bukan sahaja dapat mengukuhkan sokongan terhadap syarikat pemula tempatan, tetapi ia juga dapat menarik minat syarikat-syarikat dari seluruh dunia.

“Jadi pandangan yang akan disertakan dalam KL 20 ialah, kita tidak terlalu terikat dengan subsektor seperti pendekatan sebelum ini, kerana industri itu berubah dengan begitu cepat. Sudah tentu kita ambil pendekatan meningkatkan status Malaysia di peringkat serantau tertentu dalam bidang kecerdasan buatan.

“Tetapi pandangan saya, peralihan kepada pendekatan mesti kepada soal wujudkan ekosistem terbaik, kerana dengan ekosistem terbaik itu ia akan menarik minat syarikat pemula dari seluruh dunia dalam bidang dan subsektor yang menjadi pilihan untuk beroperasi di Malaysia,

“Dan secara automatik ia akan bawa masuk pelaburan dari venture capital, selain daripada subsektor yang digariskan dalam MyDigital,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat, yang mahu mengetahui pendekatan Kerajaan terhadap ekonomi digital melalui pelan tindakan KL 20, serta sektor tertentu yang boleh dijadikan sebagai pemangkin.

Pada September lepas, Kerajaan telah mensasarkan status Kuala Lumpur sebagai antara 20 bandar yang mempunyai ekosistem terbaik untuk syarikat pemula, melalui pelan tindakan KL20 yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2024.

Rafizi berkata, beberapa langkah telah digariskan dalam pelan tindakan tersebut, antara lain memperkenalkan daya tarikan untuk syarikat pelabur kapita asing, mengurangkan birokrasi, serta menganjurkan lebih banyak persidangan teknologi.

Dalam soalan asalnya, Saifuddin, yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, meminta Menteri Ekonomi menyatakan status pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

Menjawab soalan tersebut, Rafizi berkata, tumpuan industri teknologi dan digital kini tidak lagi dipandu dengan sasaran mewujudkan lima syarikat Unicorn seperti dahulu.

“Mengambil kira perubahan industri digital dan tech, sebaliknya usaha Kerajaan tumpu supaya satu ekosistem diwujudkan bantu cambahkan sebearapa banyak syarikat pemula di peringkat Seed, dan pendanaan akan diberi tumpuan juga lebih daripada peringkat Seed dan Angel Investor.

“Kedua, rangka perundangan dan pentadbiran perlu diselaraskan dengan industri digital dan teknologi, selain RUU seperti Akta Omnibuds mengenai perkongsian data dan keselamatan data, tumpuan juga tingkatkan daya kepimpinan digital di peringkat awam swasta pastikan terutamanya sektor awam dapat memangkin dan mempercepatkan pertumbuhan digital dan teknologi,” katanya lagi.